Wednesday, 8 August 2012

Lidah Humban Ke Neraka

Mario Balotelli

DEMAM bola sepak Euro 2012 baru saja berakhir dengan kemenangan bergaya pasukan Sepanyol ke atas Itali.
Hampir sebulan temasya ini berlangsung dan hampir sebulan juga peminat bolasepak seluruh dunia dilanda ‘demam’ bolasepak. 

Begitu hebat aura Euro 2012 ini hingga mampu mengejutkan jutaan manusia untuk menonton siaran langsung di kaca televisyen hatta termasuk mereka yang sangat sukar bangun pagi untuk bersolat subuh. Inilah antara keajaiban temasya besar sukan bolasepak di dunia ini.

Namun tiada apa yang dihairankan kerana hakikatnya dunia ini memang dihiasi dengan perkara sebegini.

Tiada apa salahnya selagi kita masih dapat mengimbangi dan dalam masa sama masih dapat menjaga hubungan baik dengan manusia lain, apatah lagi hubungan dengan Allah SWT.

Namun, secara tidak sedar, masih ramai yang gagal dalam mengimbangi hubungan baik ini akibat daripada rasa fanatik yang keterlaluan.

Apabila rasa fanatik ini menjadi seolah-olah ‘lebih sudu daripada kuah’, terjadilah dosa yang terang mahupun tersembunyi.

Sepanjang temasya ini berlangsung, antara pemain bolasepak yang menjadi perhatian pastinya Mario Balotelli daripada pasukan Itali. Cakap-cakap mengenai Balotelli bukan hanya kerana kemahiran atau skil bolasepak yang dimilikinya, tetapi lebih terarah kepada pelbagai bentuk penghinaan paras rupa.

Balotelli menjadi mangsa perkauman hanya kerana berkulit hitam dan memiliki wajah yang tidak menarik sehingga digelar ‘raksasa’.

Sememangnya tidak dinafikan pemain ini banyak mencetuskan kontroversi atas sikap dan tingkah lakunya, tetapi penghinaan dilihat lebih terarah kepada paras rupanya.

Saya juga terbaca sedikit kisah dirinya bagaimana zaman silam beliau membentuk ‘karakter peliknya’ pada hari ini sebagai pemain bermasalah.

Sejak zaman kanak-kanak, dia sering dijadikan bahan jenaka dan dipulaukan oleh masyarakat setempat hanya kerana paras rupanya yang tidak menarik.

Ini antara contoh sebenar yang berlaku dalam masyarakat di serata dunia pada hari ini, termasuk juga masyarakat kita di Malaysia.

Budaya keji mengeji dan gurauan melampau berbentuk penghinaan atas kekurangan seseorang seakan-akan menjadi hiburan oleh sesetengah orang dan menjadi dosa yang tersembunyi tanpa kita sedari.

Begitu hebat anggota badan yang diciptakan Allah SWT dan dinamakan sebagai lidah ini.

Selain dapat merasa pelbagai nikmat rasa seperti manis, masin, masam dan pahit, lidah juga memainkan peranan penting dengan membantu kita untuk berbicara dan berkomunikasi.

Lidah juga sering menjadi punca kepada segala perbalahan dan permulaan kepada pertelingkahan yang mengundang kepada dosa.

Lihat saja sebuah laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang lelaki ditembak oleh rakannya ketika selesai menonton perlawanan akhir bola sepak.

Semuanya bermula akibat provokasi dan gurauan melampau serta rasa tidak puas hati akibat diejek berikutan pasukan yang disokongnya kalah.

Akibat tidak dapat menahan sabar kerana diejek rakan sendiri, suspek melepaskan empat das tembakan yang hampir meragut nyawa rakannya.

Ini yang dikhuatirkan kerana sesuatu bencana itu sering dilihat berpunca daripada lidah.

Antara dosa yang disebabkan lidah ialah mengumpat, mengeji, mengadu domba, fitnah dan menghasut .

Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan, lidah itu boleh membawa kepada keburukan dan bala kepada seseorang sepertimana dalam hadis bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang menghumbankan muka mereka ke dalam neraka.”

Namun memang sukar mengawal lidah kerana sering tutur bicara kita mendahului fikiran.

Setelah bercakap baru menyesal, tetapi bak kata pepatah, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Kerana itu, Allah SWT dan Rasul-Nya banyak memberi peringatan dan bimbingan dalam soal menjaga lidah.

Daripada Abu Hurairah RA, diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (hadis riwayat Imam Tirmidzi)

Menurut Rasulullah SAW, ada tiga golongan manusia di dunia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.

Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya.

Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.

Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya.

Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah.

Bak kata pepatah Arab: “Kata-kata yang lembut bisa meruntunkan jiwa pendengar, dan kata-kata keras nista bisa membakar dan meledakkan hati.”

Begitulah besar kesan yang dibawa oleh satu organ yang tidak bertulang, yakni lidah.

Tidak hairan mengapa lidah dikatakan boleh menentukan nasib seseorang itu apabila di Padang Mahsyar nanti sama ada ke syurga atau neraka.

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah, bahawasanya Abu Hurairah RA menceritakan, apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.”

Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, Rasulullah SAW menjawab: “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”

0 comments: