Tuesday, 20 December 2011

Berita | Kasanova kena cekup



KUALA LUMPUR: Penjenayah ‘kasanova’ yang kembali aktif menipu wanita membabitkan ratusan ribu ringgit biarpun pernah meringkuk dua tahun dalam penjara, ditahan polis di depan sebuah pusat hiburan di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, petang semalam.

Lelaki berusia 40 tahun yang cacat di tangan itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di hadapan premis hiburan berkenaan ketika dia bersendirian kira-kira jam 5 petang.

Dia sebelum ini diburu berikutan kes tipu disyaki dilakukannya di Nilai, Negeri Sembilan, dekat sini, pada Oktober lalu membabitkan dua mangsa wanita yang mendakwa kerugian kira-kira RM200,000.

Menurut sumber, semalam sepasukan polis bergegas ke premis hiburan berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam dan suspek pada mulanya cuba berlagak selamba biarpun melihat kereta polis menuju ke arahnya.

“Dia juga tidak melarikan diri ketika dihampiri anggota polis. Apabila anggota polis memberitahu mahu menahannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung kes tipu di Nilai, suspek menafikannya.

“Malah, dia berulang kali mendakwa sudah membayar wang terbabit kepada mangsa secara ansuran dan bertegas tidak menipu sesiapa,” katanya.

Sumber itu berkata, bagaimanapun anggota polis tetap menahannya selepas semakan mendapati dia amat dikehendaki membabitkan kes tipu. Suspek dibawa ke Balai Polis Sentul, di sini, untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Jenayah membabitkan suspek mula dilaporkan media massa sejak November lalu apabila dia disyaki menipu empat wanita di Johor membabitkan kerugian lebih RM10,000.

Harian Metro pada 15 Oktober lalu melaporkan suspek yang menyamar sebagai kontraktor dan dia dikatakan mencari mangsa di Terminal Pengangkutan Awam dan Pasar Larkin, sama seperti dilakukannya sebelum ini.


HM

0 comments: