KUALA LUMPUR: Kepada mereka yang ingin merasai pengalaman menaiki roller coaster, menyertai perlumbaan kereta dengan kelajuan 600 kilometer sejam dan suasana angkasa lepas melalui pergerakan simulasi 6D, bolehlah berkunjung ke XD Theather, Menara Kuala Lumpur, di sini.
Tarikan baru itu ditawarkan dengan harga RM18 untuk satu slot situasi 6D enam minit dan pengunjung akan dibawa ke situasi yang menjangkaui masa, ruang serta imaginasi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd Said, berkata XD Theather yang pertama di Malaysia itu, menjanjikan gambaran 6D sebenar dengan teknologi terkini dan pergerakan kerusi yang lebih mencabar seolah-olah berada di lokasi sebenar.
“Selain penyertaan individu, pakej kombo turut ditawarkan kepada pengunjung, iaitu merasai ketiga-tiga situasi ditawarkan di XD Theather, pas masuk ke ruang peninjau dan menggunakan MPS Audio serta melawat perkampungan budaya 1Malaysia dengan bayaran RM35 bagi dewasa dan RM25 kanak-kanak (enam tahun ke atas),” katanya ketika sidang media pakej cuti sekolah di Menara Kuala Lumpur bersama penampilan Upin dan Ipin, di sini, semalam.
Sempena cuti sekolah yang berlangsung pada 19 November hingga 2 Januari 2012 ini, Menara Kuala Lumpur menganjurkan pelbagai program menarik dan istimewa untuk pengunjung.
Antara tarikan utamanya, ialah penampilan khas Upin dan Ipin di pekarangan Menara pada 19 hingga 20 dan 26 hingga 27 November ini. Penampilan dua karakter terkenal itu bermula pada jam 10 pagi hingga 7 malam.
Zuraidah berkata, pengunjung juga berpeluang untuk mendaftar sebagai ahli kelab Upin dan Ipin dengan setiap pembelian tiket kunjungan ke menara dengan harga RM15.
“Kami juga menawarkan pakej keluarga untuk dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak dengan harga promosi RM70. Promosi itu ditawarkan sepanjang bulan November dan Disember saja.
“Dengan pembelian tiket ini juga, pengunjung juga layak menyertai peraduan Sayang Menara Kuala Lumpur dan berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM10,000,” katanya.
sumber : hmetro
0 comments:
Post a Comment