Friday, 11 November 2011

Berita | Tragedi 11.11.11



Empat termasuk dua murid maut, tujuh parah; Bas rombongan terbalik
sebelum dirempuh treler pasir


SLIM RIVER: Ketika ramai memilih 11.11.11 sebagai hari istimewa semalam, 36 pelajar dan empat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, sebaliknya melalui tragedi mengerikan apabila bas rombongan yang dinaiki terbalik, sebelum dirempuh sebuah treler ketika kebanyakan mangsa merangkak untuk menyelamatkan diri, menyebabkan empat orang terkorban.

Dalam kemalangan jam 4.30 pagi di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini, dua rakan mereka Khairul Anwar Azhan dan Maysarra Zaidi, masing-masing 15 tahun, mati di tempat kejadian dengan mayat Maysarra dikesan hampir tujuh jam kemudian dalam longkang di bawah timbunan pasir dari treler yang jatuh bertaburan. Pelajar yang memperoleh 8A ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu pada mulanya dilaporkan hilang selepas usaha mengesannya di lokasi kejadian dan hospital sebelum itu gagal.

Guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, dari Kota Sarang Semut, Kedah pula meninggal dunia di Hospital Slim River (HSR) dengan sebelah kakinya putus dan ditemui berdekatan mayat Maysarra.

Seorang lagi yang meninggal dunia ialah Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45 yang dirempuh ketika membantu menyelamatkan pelajar keluar daripada bas berkenaan.

Dia menaiki bas lain bersama rombongan Wanita UMNO Kedah yang dalam perjalanan menghadiri program parti di Tanjung Karang, Selangor, dan berhenti di tempat kejadian atas permintaannya sendiri untuk membantu mangsa.
Kemalangan juga menyebabkan guru mereka, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan Azriahani Ahmad, 31 tahun cedera parah. Empat pelajar, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, Mohd Azim Dahalan, Moha Faisal Anuar dan Mohammad Shariffuddin, semuanya berusia 15 tahun dan anak Azriahani, Idzmi Haikal Khairul Shah, 5 yang mengikut ibunya juga parah.

Selain itu, 22 lagi pelajar dan seorang guru cedera ringan. Semua yang cedera ringan dan cedera parah dirawat di HSR dan Hospital Teluk Intan (HTI). Mereka adalah antara 60 pelajar dan tujuh guru SMK Air Merah yang menyertai rombongan menaiki dua bas, tetapi satu lagi tidak terbabit dalam kemalangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Md Tahir Kassim, berkata mangsa yang menyertai rombongan tiga hari dua malam ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands itu, menaiki bas persiaran itu di Kulim pada jam 11.30 malam kelmarin, menuju ke ibu negara.

“Siasatan awal mendapati bas dipandu lelaki berusia 25 tahun itu terbabas ke kiri jalan lalu terbalik dalam posisi mengiring. Dalam keadaan kelam kabut pelajar dan guru menyelamatkan diri, treler membawa muatan pasir yang datang dari belakang melanggar bas berkenaan.

“Kita sudah menahan pemandu bas dan pemandu treler untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya


Sumber : BH

2 comments:

Datin BERSERI said...

wooo 11.11.11 tarikh keramat........
suwey~~

syerilhusna said...

Haih berlaku dekat dengan rumah kite --'
Takziah untuk semua mangsa .